Navigasi
Utama
Dari Meja Pengerusi
Kenali BNBBC
Organisasi BNBBC
Ahli BNBBC
Berita
Komen
Kenyataan Akhbar
Persidangan Dewan
Video
Galeri
Forum
Maklum Balas
Hubungi BNBBC
Kabinet Malaysia
Parti Komponen BN
Laman Web
Ahli BNBBC
UMNO
Laman Web
Ahli BNBBC
MCA
Laman Web
Ahli BNBBC
PBS
Laman Web
Ahli BNBBC
MIC
Ahli BNBBC
SPDP
Laman Web
Ahli BNBBC
LDP
Laman Web
Ahli BNBBC
SAPP
Ahli BNBBC
PRS
Laman Web
Ahli BNBBC
PPP
Laman Web
Ahli BNBBC
UPKO
Ahli BNBBC
SUPP
Ahli BNBBC
PBRS
Ahli BNBBC
PBB
Laman Web
Ahli BNBBC
PGRM
Anda adalah pengunjung ke
1
1
7
0
9
2
sejak 6 September 2008
Berita
31-08-2009
Sambutan Merdeka Ke-52 Dipenuhi Semangat 1Malaysia
KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) -- Biarpun ringkas dan sederhana, impak sambutan ulang tahun ke-52 kemerdekaan negara peringkat nasional hari ini tidak kurang dan tetap bersemarak dengan semangat 1Malaysia apabila pelbagai lapisan masyarakat, tanpa mengira kaum dan keturunan bersama-sama meraikannya.
Bertemakan '1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan', perayaan Hari Kemerdekaan kali ini mencipta sejarahnya tersendiri apabila buat julung kali di dalam sejarah sambutannya diadakan di Dataran Parlimen, yang menjadi simbol demokrasi berparlimen di negara ini.
Dataran Parlimen yang sering menjadi lokasi acara menyambut pembesar-pembesar dari negara luar dalam upacara penuh adat istiadat, hari ini diwarnai dengan persembahan para peserta yang berpakaian warna warni serta anggota pasukan keselamatan yang segak di dalam uniform masing-masing.
Perhimpunan perbarisan bermula sebaik sahaja keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah tepat pukul 8 pagi.
Kira-kira 10 minit sebelum itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama isteri Puan Sri Norainee Abd Rahman tiba di perkarangan Parlimen.
Ketibaan tetamu kehormat disambut lambaian dan sorakan kira-kira 10,000 kontinjen pelambai yang berbaris di sepanjang jalan kira-kira 1.38km, bermula daripada Bulatan Bank Negara Malaysia (BNM) sehingga ke perkarangan Dataran Parlimen.
Kontinjen pelambai antaranya terdiri daripada pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) (210 orang), kementerian dan agensi awam (300), 28 kontinjen badan-badan berkanun (300), kontinjen swasta (992), kontinjen pelatih institut perguruan seluruh Malaysia (3,500) dan kontinjen khalayak kelolaan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (5,000).
Sebaik tiba, Yang di-Pertuan Agong mengambil tabik hormat sebelum lagu Negaraku dimainkan oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja di bawah pimpinan Mejar Zailani Mohd Okhtat.
Pada masa yang sama, tujuh helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuat lintas hormat dengan membawa Jalur Gemilang, bendera Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Darat, TUDM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sambil melepaskan asap berwarna merah, biru dan kuning yang melambangkan warna bendera Malaysia.
Seri Paduka kemudian memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Regimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Mohd Radzi Othman.
Acara diteruskan dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang serentak dengan nyanyian lagu Negaraku dan tembakan meriam 14 das sebelum bacaan ikrar Rukun Negara dilafazkan oleh tujuh orang warga pendidik yang mewakili kaum-kaum utama di Malaysia diketuai oleh Norazmi Baba.
Bacaan ikrar turut diiringi sejumlah 52 peserta yang juga warga pendidik, berpakaian pelbagai kaum sebagai simbolik kemerdekaan negara yang ke-52.
Turut sama melafazkan ikrar ialah 500 anggota kontinjen keselamatan dari pasukan Tentera Darat, TUDM, TLDM, PDRM dan APMM yang diketuai Leftenan Kolonel Hishamudin Jumat Abas Jumat.
Laungan "merdeka" sebanyak tujuh kali, diikuti laungan "1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" kemudiannya bergema di seluruh kawasan, turut disambut oleh orang ramai yang tidak melepaskan peluang mengikuti upacara gilang-gemilang itu di kawasan luar Parlimen.
Sambutan kali ini turut diserikan dengan nyanyian koir daripada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) yang mendendangkan lagu patriotik "Malaysia Tanah Airku".
Sebagai persembahan penutup, nyanyian koir Suara Warisan (Koswa), TLDM, Lumut menyemarakkan lagi Jalur Gemilang dan 1Malaysia bagi mengiringi persembahan 200 peserta persembahan rakyat yang menampilkan pelbagai gerak tari budaya.
Sambutan yang berlangsung kira-kira 40 minit itu hanya memperlihatkan elemen penting seperti perbarisan dan persembahan rakyat tanpa perarakan besar-besaran dan penglibatan kontinjen kanak-kanak sekolah seperti tahun-tahun sebelum ini, berikutan kebimbangan penularan wabak influenza A(H1N1) dan bagi menghormati bulan Ramadan.
Di MELAKA, kira-kira 3,500 peserta daripada 88 kontinjen menyertai perhimpunan sempena ulang tahun kemerdekaan peringkat negeri yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh.
Sambutan secara sederhana tetapi dengan penuh semangat kemerdekaan itu bermula pukul 8 pagi dan dihadiri Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Othman Muhamad, anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan.
Antara pengisian majlis ialah perarakan masuk dan menaikkan Jalur Gemilang, bacaan ikrar, laungan tujuh kali "Merdeka", bacaan puisi, nyanyian lagu-lagu patriotik dan persembahan seni mempertahankan diri berkonsepkan 1Malaysia. Bercakap kepada pemberita, Mohd Ali berkata semangat patriotik dan perpaduan yang ditunjukkan oleh mereka yang hadir pada perhimpunan itu adalah membanggakan.
"Saya berharap perpaduan cinta negara yang disemai dalam lagu 1Malaysia dan Malaysia Tanahair Ku, akan dapat dijadikan lagu yang dinyanyikan setiap masa bukan sahaja pada hari perayaan kemerdekaan tetapi dalam majlis rasmi dan tidak rasmi," katanya.
Di PULAU PINANG, lebih 3,000 orang mengambil bahagian dalam perbarisan sambutan hari kemerdekaan peringkat negeri yang diadakan di hadapan bangunan Majlis Perbandaraan Seberang Perai (MPSP) di Bandar Perda di Bukit Mertajam.
Pengerusi Jawatankuasa sambutan berkenaan Datuk Abdul Halim Hussain berkata sebanyak 70 kontinjen dari pelbagai agensi kerajaan, swasta dan sekolah memeriahkan sambutan yang bermula pada pukul 8 pagi itu.
Pelbagai aktiviti menarik diadakan antaranya acara perarakan 68 kontinjen berjalan kaki dan dua kontinjen kenderaan, pantomin dan pancaragam.
Turut hadir ialah Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas, Ketua Menteri Lim Guan Eng dan barisan Exco kerajaan negeri.
Di KOTA BAHARU, sebanyak 51 kontinjen dengan hampir 3,000 peserta terdiri daripada warga jabatan dan agensi kerajaan persekutuan dan negeri, swasta, institut pengajian tinggi dan badan bukan kerajaan (NGO) mengambil bahagian dalam perhimpunan kemerdekaan yang diadakan di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV.
Majlis sambutan dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan dihadiri Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yacob dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Aiseri Alias.
Di KUCHING, sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri berlangsung di Stadium Perpaduan Kuching dalam suasana sederhana namun penuh dengan pengisian erti kemerdekaan.
Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata kestabilan politik dan perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama yang kukuh sejak 46 tahun lalu telah membawa banyak kemajuan kepada Sarawak.
"Hari ini Sarawak telah mencapai banyak kemajuan, malah hampir setaraf dengan negeri-negeri lain di Semenanjung yang lebih awal mengecapi kemerdekaan," katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Hadir sama Yang Dipertua Negeri Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dan isteri Toh Puan Norkiah Abdullah dan menteri kabinet negeri.
Di SEREMBAN, ribuan rakyat tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama memeriahkan acara yang diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Seremban. Sambutan dimulakan dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang dan diikuti dengan bacaan sajak dan persembahan multimedia sebelum diakhiri dengan nyanyian lagu patriotik Tanggal 31 Ogos.
Majlis turut dihadiri Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, para pembesar negeri dan Exco kerajaan negeri.
Para petugas kesihatan mengawal ketat di pintu masuk dewan malah setiap tetamu yang datang termasuk para VIP diberikan sabun pembasmi kuman untuk mencuci tangan mereka dalam usaha mencegah penularan H1N1.
Di KOTA KINABALU, sambutan kemerdekaan peringkat negeri turut diadakan di dalam kawasan tertutup iaitu di Kompleks Sukan Likas dengan disertai kira-kira 3,000 peserta dan pengunjung.
Turut hadir ialah Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Ahmadshah Abdullah dan isteri Toh Puan Dayang Masuyah Japar, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan isteri Datin Faridah Tusin.
Sebanyak 37 kontinjen menyertai perbarisan kali ini manakala pengisian acara antaranya upacara menaikkan bendera sambil menyanyi lagu kebangsaan beramai-ramai, persembahan koir, puisi dan persembahan kebudayaan 1Malaysia.
Di PAHANG, walaupun sambutan diadakan dalam suasana sederhana namun tetap meriah dengan kira-kira 5,000 orang membanjiri Stadium Tertutup Sukpa di Bandar Indera Mahkota di sini.
Hadir sama Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob serta barisan Exco kerajaan negeri.
Acara di peringkat negeri itu dimulakan perbarisan oleh pasukan keselamatan pelbagai pangkat yang dimeriahkan dengan muzik daripada kumpulan pancaragam gabungan Satu Kor Amor Diraja dan 12 Rejimen Askar Melayu Diraja yang disertai seorang pegawai dan 25 anggota.
Perbarisan turut disertai 58 kontinjen yang terdiri daripada jabatan-jabatan kerajaan negeri dan pusat, badan sukarela, pertubuhan bukan kerajaan dan pelajar institusi pengajian tinggi di Pahang.
Kira-kira 250 pelajar Sekolah Menengah Bukit Rangin dan Sekolah Menengah Sungai Isap turut menarik perhatian hadirin dengan pembentukan logo 1Malaysia.
Di JOHOR BAHARU, sambutan diadakan serba ringkas di Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunos, Larkin dengan disertai lebih kurang 3,000 peserta pelbagai kontinjen yang terdiri daripada jabatan kerajaan negeri dan pusat, badan sukarela dan juga NGO.
Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman yang merasmikan perhimpunan itu dalam ucapannya mengingatkan kembali pesanan Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman agar rakyat berbilang kaum bersatu padu, berkompromi dan berkorban demi mempertahankan kemerdekaan negara ini.
"Perpaduan terbina melalui semangat tolak ansur dan pergorbanan, tidak curiga mencurigai, tidak berprasangka; sebaliknya saling saling memahami, saling menghormati, saling memerlukan berteraskan semangat setia kawan, seimbang lagi adil," katanya.
Di IPOH, ulangtahun kemerdekaan peringkat negeri Perak disambut secara sederhana dan ringkas namun tetap bersemangat apabila rakyat pelbagai kaum dan agama meraikannya di perkarangan bangunan pentadbiran kerajaan negeri, Bangunan Perak Darul Ridzuan di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di sini.
Sambutan dimulakan dengan pemeriksaan Kawalan Kehormatan yang dianggotai tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Kedua, Rejimen Renjer Diraja dari Kem Syed Putra di sini oleh Sultan Perak Sultan Azlan Shah dengan diiringi pasukan pancaragam KD Pelanduk, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut.
Ini disusuli dengan perbarisan oleh 12 kontinjen pasukan keselamatan antaranya Tentera Udara Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Tentera Darat Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan pihak berkuasa tempatan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Turut mencuri tumpuan ialah persembahan Kawad Senyap oleh 48 anggota TLDM yang dipimpin Lt Komander Mohamad Kamarudin K.Asnar yang menggunakan senjata M16 A1 dan Tarian Rampaian Perpaduan yang dipersembahkan oleh Kumpulan Selendang Perak, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Perak, Badan Kesenian MBI, persatuan Cina dan India.
Turut berangkat ke majlis sambutan itu ialah Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah dan Raja DiHilir Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa. Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan barisan Exco kerajaan negeri.
Di ALOR SETAR, perhimpunan kemerdekaan peringkat negeri berlangsung di Dewan Seri Negeri dengan dimulai dengan Sultan Kedah, Sultan Abdul Hakim Mu'adzam Shah memeriksa pasukan Kawalan Kehormat di Dataran Wisma Darul Aman.
Turut berangkat ialah Sultanah Kedah Tuanku Hamidah Hamidun dan Raja Muda Kedah Tuanku Abdul Malik Sultan Badlishah. Turut hadir Menteri Besar Datuk Azizan Abdul Razak.
Bertitah pada majlis itu, Sultan Kedah mengingatkan rakyat bahawa kemakmuran yang dikecapi pada hari ini boleh hilang sekelip mata sekiranya rakyat alpa tentang sejarah silam.
Baginda bertitah kemakmuran yang dikecapi pada hari ini merupakan usaha gigih daripada barisan kepimpinan terdahulu dan juga sokongan padu rakyat.
"Beta percaya, sejarah yang telah berlalu harus menjadi iktibar dan perlu dihayati oleh seluruh rakyat khususnya generasi muda yang bakal menjadi pewaris kepada negara yang kita cintai ini", titah baginda.
Baginda turut meletakkan harapan yang tinggi terhadap generasi muda yang diharap mampu menyambung usaha-usaha perjuang bangsa untuk memastikan negara terus merdeka.
-- BERNAMA
Senarai berita
(1 to 10 of 113 )
No
Tajuk
Tarikh
1
Kes Pembuangan Bayi dan Langkah-langkah mengatasi.
01-07-2010
2
Sumber Pengajar dan alatan-alatan yang dibekalkan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN)
24-06-2010
3
Kemudahan-kemudahan Kesihatan
22-06-2010
4
Masalah Demam Denggi dan Langkah-langkah mengatasi yang diambil
22-06-2010
5
Tiong: Langkah-langkah yang diambil untuk Mengatasi Kekurangan Guru di Sekolah-sekolah.
14-06-2010
6
Taniah!
08-06-2010
7
Tiong menggesa liberalisasi Sistem Permit Import (AP) bagi Gula, Tepung Gandum dan Minyak Masak serta Memanjangkan Tempoh Sah Laku Lesen
08-06-2010
8
Tiong: Kawalan ke atas Kemasukan Semula Warganegara Asing yang didapati berkelakuan Salah
07-06-2010
9
Malaysia Dalam Kedudukan Baik Untuk Kurangkan Defisit Bajet Kepada 5.6 Peratus...BERNAMA
14-05-2010
10
Calon BN, Kamalanathan Menang Dengan Majoriti 1,725 Undi...BERNAMA
26-04-2010
Show
10
20
50
100
records
Pengumuman
Kalendar Aktiviti
Pautan
© Hak cipta terpelihara 2010 Barisan Nasional Backbenchers Council 2010